1.1 Adat dan Istiadat
Menurut Kamus Dewan (1997), adat bermaksud peraturan yang lazim dilakukan sejak dahulu kala. Manakala istiadat pula bermaksud berbagai-bagai adat yang diikuti.
Menurut Muhammad Ariff Ahmad :
Adat itu merupakan cara atau sistem yang sudah menjadi kebiasaan, diamalkan oleh sesuatu masyarakat manusia; ia juga merupakan hukum-hakam dan perlembagaan sebagai pegangan atau panduan hidup masyarakat itu. Pantang-larang dan suruh arah yang tradisional termasuk dalam adat.
Kedatangan Islam telah mengubah adat istiadat tradisi orang Melayu yang dahulunya berlandaskan animisme dan Hinduisme. Menurut Windstedt (1944:186) dalam “Indian Influence in the Malay World”,
With no greater exaggeration it may be said of the Malayan races that till the 19th century they owed everything to Indians: religions, a political system, medieval astrology and medicine, literature, arts and crafts”.
Namun demikian dengan kedatangan Islam ke benua alam Melayu, agama Islam telah mula memperkenalkan adat istiadat yang berlandaskan Islam. Adat istiadat orang Melayu yang lazimnya beragama Islam dipraktikkan oleh penganutnya sejak dilahirkan hinggalah ke hari kematian.
Menurut S. Gazalba :
Dari segi etimologi perkataan adat itu berasal daripada bahasa Arab adah yang bererti kebiasaan atau sesuatu perbuatan yang dilakukan secara berulang-ulang lalu menjadi suatu kebiasaan yang tetap dan dihormati orang, maka kebiasaan itu lambat laun menjadi adat.
Lantaran itu. kebiasaan yang diamalkan oleh masyarakat Melayu akhirnya berkembang menjadi suatu adat.
Menurut Datuk Dr. Zainal Kling pula:
Adat muncul sebagai struktur asas seluruh kehidupan dan menegaskan ciri keperibadian sesebuah masyarakat. Dengan demikian dalam masyarakat tradisi adat mempunyai kedudukan suci hingga mencapai martabat agama, dipancarkan oleh kelakuan yang betul serta halus, suatu ciri kehidupan yang menyerapi sistem kepercayaan, hukuman dan denda.
Masyarakat Melayu juga diperkenalkan kepada dua konsep adat yang diperlukan dalam menjalankan adat istiadat perkahwinan orang Melayu. Beberapa konsep yang akan dibincangkan termasuk, konsep merisik, konsep merasi, simbolisme tepak sirih serta sistem perkahwinan orang Melayu secara ringkas.
1.2 Sistem Perkahwinan Orang Melayu
Dalam masyarakat Melayu, perkahwinan merupakan perkara yang penting dalam kehidupan masyarakatnya. Perkahwinan dianggap sebagai tali penyambung arus dalam menghubungkan dua orang manusia secara halal sehingga mendapat zuriat dan seterusnya menempuh kehidupan sebagai orang dewasa sehingga melangkah ke alam perkahwinan. Sistem perkahwinan orang Melayu secara dasarnya banyak menurut adat-adat masyarakat dahulu yang berkaitan dengan adat-adat orang Hindu. Namun dengan kedatangan Islam, banyak perubahan yang berlaku selaras dengan perubahan dalam segi taraf kehidupan dan perubahan gaya hidup masyarakat Melayu amnya, ditambah pula dengan perubahan faktor masa dan perubahan fikiran manusia. Selain itu faktor yang berkaitan dengan adat merasi dan sebagainya yang ditegah oleh Islam, iaitu agama yang dianuti oleh orang Melayu yang datang selepas agama Hindu-Buddha turut menjadi persoalan. Tetapi akibat daripada amalan yang sudah lama dituruti dan telah bersemadi dalam kehidupan orang Melayu, masih terdapat adat yang masih kekal dan diikuti tetapi sudah ada perubahan, ditambah atau diringkaskan bergantung kepada keadaan masa ini. Namun apabila dilihat secara keseluruhan, perkahwinan dalam masyarakat Melayu telah menjadi seperti suatu proses yang dipenuhi dengan pelbagai upacara yang harus dilalui oleh pasangan mempelai.
Dalam agama Islam, sesuatu perkahwinan tidak akan berlaku tanpa berasaskan perkara-perkara yang telah ditentukan oleh para ulama sebagai rukun-rukun perkahwinan. Ada lima rukun perkahwinan, iaitu pengantin lelaki, pengantin perempuan, wali, dua orang saksi dan sighah iaitu ijab dan qabul. Perkahwinan orang Melayu yang berunsurkan Islam tidak sah jika tiada wali. Ijab pula bermaksud pengakuan daripada pihak bakal isteri bahawa dia rela dan bersedia dikahwinkan dengan bakal suaminya. Sementara kabul pula ialah pengakuan atau jawapan daripada pihak bakal suami bahawa dia menerima bakal isterinya untuk dijadikan pasangan hidupnya. Dalam perkahwinan ini, mahar atau mas kahwin merupakan satu pemberian yang diwajibkan daripada suami kepada perempuan yang menjadi isterinya. Mahar ini haruslah menyenangkan kedua-dua pihak berdasarkan kemampuan diri si suami, mudah dan tidak membebankan. Selain daripada perkara-perkara di atas, apabila menyentuh tentang alam perkahwinan, kita harus sedia maklum bahawa terdapat dua adat yang berasingan dalam sistem perkahwinan orang Melayu; iaitu adat temenggong dan adat perpatih. Selain itu, kepentingan penggunaan sirih dalam upacara perkahwinan juga harus difahami. Berikutnya akan dijelaskan secara ringkas tentang kedua-dua adat ini termasuk simbolisme penggunaan sireh.
1.2.1 Adat Temenggong
Adat Temenggong diamalkan di negeri-negeri Melayu yang lain selain Minangkabau, Negeri Sembilan dan Melaka. Seperti di Johor, Pahang, Perak, Selangor, Kelantan, Kedah, Perlis, Pulau Pinang, dan sebagainya. Adat ini berbentuk patrilineal iaitu menyusurgalurkan kepada keturunan bapa melalui pembahagian nasab dan pembahagian harta yang mengikut sistem faraidh. Walaupun secara umumnya negeri-negeri ini dikatakan mengamalkan prinsip kekeluargaan bilateral. Di sini kuasa waris sebelah lelaki lebih memainkan peranan seolah-olah seorang patriach di dalam keluarga. Seterusnya pengkaji akan membincangkan secara ringkas tentang adat perpatih.
1.2.2 Adat Perpatih
Adat perpatih pula berasal dari Minangkabau. Adat ini diamalkan di sebahagian besar Negeri Sembilan dan daerah Naning, Melaka ataupun di kawasan daratan. Adat perpatih ini berbentuk matrilineal yang menyusurgalurkan keturunan mereka berdasarkan sebelah ibu dan pembahagian harta pusaka melalui nasab ibu. Berdasarkan bentuk ini, kini lahir konsep dan organisasi perut (poghut) iaitu menyusur-galurkan keturunan kepada nenek-moyang yang sama. Terdapat juga sistem organisasi selanjutnya iaitu suku dalam konteks adat perpatih. Secara umunya, empat poghut membentuk satu suku. Manakala setiap suku pula menganggap mereka adalah waris (waghih) iaitu adik beradik. Ahli daripada setiap suku tidak dibenarkan berkahwin sesuku. Oleh kerana sistem yang sedemikian, pasangan suami isteri yang mengamalkan adat ini mengharapkan anak perempuan kerana anak perempuan adalah penyambung kepada keturunan sesebuah suku. Jika tiada anak perempuan, seorang anak angkat perempuan akan dipelihara sebagai anak kandung sendiri. Anak angkat ini harus diiktiraf suku ibu angkatnya dengan cara adat istiadat berkedim. Walau bagaimanapun, dengan perubahan yang berlaku sekarang, ahli suku yang tidak lagi menetap di wilayah suku mereka akan berkahwin dengan orang Melayu dari daerah lain.
1.2.3 Simbolisme Tepak Sirih
Tepak sirih merupakan satu alat kesenian yang unik di dalam masyarakat Melayu yang mewakili masyarakat ini dari zaman dahulu hingga sekarang. Dalam membincangkan tentang simbolisme tepak sirih ini, konsep serta huraian tentang sirih pinang harus dijelaskan. Penggunaan tepak sirih dan sirih pinang ini sangat meluas dan berfaedah kepada masyarakat Melayu secara langsung. Maklumat ini turut disertakan dalam esei tugasan ini kerana secara tidak langsung penggunaan sirih pinang dan tepak sirih sangat diperlukan dalam masyarakat Melayu terutamanya dalam majlis perkahwinan orang Melayu. Sirih pinang digunakan dalam majlis-majlis beradat dan mempunyai fungsi seperti sirih tanya dan sirih junjung dalam ritual-ritual perkahwinan. Tepak sirih pula digunakan dalam majlis perkahwinan.
Tepak sirih sering dikaitkan dalam kehidupan masyarakat Melayu yang aman dan tenteram. Kehadirannya sering dikaitkan dengan bahan-bahan di dalamnya yang disusun mengikut cara tertentu. Di dalam ruang-ruang khas yang menempatkan sirih, kacip dan cembul-cembul yang digunakan untuk mengisi pinang, gambir, kapur dan tembakau. Cara susunannya pula memberi makna yang tertentu. Manakala isi kandungannya tersirat makna yang mengingatkan pengantin tentang kehidupan berumahtangga yang bakal ditempuhi.
Dalam upacara perkahwinan orang Melayu, tepak sirih akan disusun indah dan dibawa oleh pihak lelaki dalam upacara merisik, bertunang dan ketika upacara perkahwinan berlangsung. Perkara yang membezakannya ialah, ketika majlis merisik, tepak sirih tidak diiringi dengan barangan lain manakala ketika bertunang dan perkahwinan, tepak sirih akan diiringi dengan barangan lain seperti sirih junjung.
Tepak sirih berfungsi sebagai pembuka kata dan penyampai maksud. Contohnya, sewaktu majlis merisik, sirih tanya dihantar oleh pihak lelaki ke rumah anak gadis yang dihajati. Jika sirih tanya itu tidak dikembalikan ini bermakna si gadis bersedia menerima pinangan tadi dan bermaksud sebaliknya jika sirih tanya ini dipulangkan.
Selain memainkan fungsi dalam upacara merisik, tepak sirih ini memainkan peranannya pula dalam majlis pertunangan sebagai pelengkap adat istiadat mengiringi barang-barang hantaran. Semasa barang-barang hantaran ini dibawa, tepak sirih ini mestilah mendahului barang-barang lain dan dibawa oleh seorang ketua adat. Tepat sirih ini kemudiannya menjadi ganti menyembah dan pembuka acara di majlis itu. Rombongan pihak lelaki turut disambut dengan tepak sirih daripada pihak perempuan.
Dalam majlis perkahwinan pula sirih junjung digunakan bagi melengkapkan hantaran perkahwinan. Pihak perempuan akan menerima gubahan sirih pertunangan daripada pihak lelaki manakala pihak lelaki pula akan menerima gubahan sirih junjung. Sirih junjung yang dihias indah membawa alamat peminangan itu akan membawa perkara yang baik. Sirih junjung merupakan simbol ikatan kasih sayang pasangan mempelai serta lambang doa restu daripada kedua belah pihak keluarga masing-masing. Gubahan sirih junjung dan erti disebalik setiap gubahan yang indah menggambarkan seribu makna selain dianggap sebagai pelengkap kepada tepak sirih serta kehadirannya sebagai sirih adat masih diutamakan.
Seterusnya pengkaji akan menjurus kepada perbezaan dan persamaan yang terdapat dalam upacara perkahwinan dahulu dan kini.
Selamat tahun baru saya ucapkan kepada semua pelajar HKSS. Semoga tahun 2008 ini dijadikan sebagai tahun untuk anda semua melangkah jauh ke hadapan.
Bagi pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan peringkat N dan peringkat O pada tahun ini, mulalah bekerja dengan lebih gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang.
Kepada pelajar-pelajar yang telah mengharumkan nama sekolah dan keluarga tahun lepas...iaitu pelajar 4NT dan 4N kita yang telah menjadi pelajar terbaik di sekolah dalam peperiksaan 'N' Level, saya ucapkan syabas!
Semoga pelajar-pelajar yang lain dapat mengikut jejak langkah mereka dengan menjadi pelajar terbaik juga. Insya_Allah.