Singapura : 11 Ogos 2007
TERTELAN BESI TINDIK SEMASA HIRUP MI Mujur 'barbell' yang terselit dalam tubuh dapat dikeluarkan...
Oleh
Khalid Khamis
ENCIK Idris Ibrahim Shamsudin menindik lidahnya sekitar lima tahun lalu kerana menganggap sesuatu yang 'cool' dan menjadi trend di kalangan remaja.
Namun tidak pernah terlintas di fikirannya, besi jenis 'barbell' yang dipasang di lidahnya sepanjang sekitar tiga sentimeter itu 'ditelannya' ketika menikmati hidangan mi segera awal pagi Selasa lalu.
Ketika menjalani X-ray di jabatan kemalangan dan kecemasan di Hospital Besar Changi (CGH) Selasa lalu, besi tindik itu didapati terselit pada paras tulang rusuk nya.
Buat seketika jantungnya berdegup dengan pantas kerana bimbang terpaksa dibedah atau lebih buruk membawa maut.
Namun beliau bernasib baik kerana besi itu berjaya diturunkan hingga ke saluran najis dan dikeluarkan ketika membuang air besar.
Disebabkan pengalaman tersebut, Encik Idris, 24 tahun, seorang pekerja pemunggah barang, sudah serik dan menyesal serta tidak mahu memasang besi tindik di lidahnya lagi.
Ketika ditemui di katil hospitalnya semalam, Encik Idris berkata bahawa besi tindik itu sebenarnya adalah milik rakannya dan mula dipakai pada hari yang sama ketika beliau menikmati mi segera tersebut.
Beliau berkata besi itu mungkin tertelan kerana tidak diskru atau bahagian yang boleh ditanggalkan dan dipasang semula itu tidak diskru dengan ketat.
Menurutnya, beliau mempunyai besi 'barbell'nya sendiri tetapi telah dibuang oleh ibunya.
Ibunya melarang keras beliau menindik lidahnya itu.
'Tengah sedap-sedap makan maggi, tiba-tiba baru perasan besi dah tak ada kat lidah.
'Menggelabah sekejap, selepas itu macam ada benda yang tersengkang di kerongkong,' katanya berkongsi pengalaman yang mencemaskan itu.
Peristiwa tersebut berlaku sekitar 1 pagi di kedai kopi di kawasan Tampines Selasa lalu.
Takut besi yang ditelan itu boleh memudaratkannya, beliau terus meminta rakannya menghubungi ambulans untuk membawanya ke hospital.
Akibatnya, anak sulung daripada tiga beradik itu terpaksa dirawat di hospital selama empat hari untuk mengeluarkan besi tersebut.
Rawatan antibiotik selama tiga hari berjaya mengeluarkan besi itu dari saluran najis.
Dua imbasan X-ray yang dilakukan pada sebelah pagi dan petang semalam pula tidak menunjukkan saki-baki besi berada dalam badan Encik Idris.
'Saya dah serik nak pakai benda ini lagi. Nasib baik ia dapat dikeluarkan, tak boleh keluar jadi aniaya pula,' tambahnya.
Kini beliau juga cuba menasihatkan teman wanitanya agar berhenti memakai besi tindik yang serupa di lidahnya bagi mengelakkan kejadian sepertinya.
Beliau telah dibenarkan pulang ke flatnya petang semalam.
___________________________________________________________________________________
Semasa membaca artikel ini di akhbar, saya teringatkan pelajar-pelajar saya yang turut menindik bahagian-bahagian muka serta bibir mereka....hai....apa agaknya yang akan terjadi jika kejadian ini menimpa diri mereka?
Bertindik ini sebenarnya khas untuk anak perempuan sahaja...tetapi oleh kerana ramai remaja-remaja kini terlalu 'taksub' dengan pengaruh barat, adat bertindik tidak lagi menjadi sesuatu yang dianggap selari dengan adat resam masyarakat Melayu. Malah, bertindik bukan lagi di cuping-cuping telinga sahaja tetapi di bahagian-bahagian muka dan badan.
Ikuti petikan di bawah.
BERTINDIK Adat resam bertindik dahulunya dilakukan dengan mengadakan kenduri kendara di mana tukang tindik cuma perlu menebuk kedua-dua cuping telinga anak perempuan yang berumur antara lima hingga sepuluh tahun dengan menggunakan sejenis daun. Adat bertindik ini sebenarnya dilakukan untuk meraikan anak perempuan yang dianggap akan meningkat remaja bagi mendidik mereka agar pandai berhias apabila meningkat dewasa kelak. Bagi keluarga Melayu zaman kini, ia merupakan suatu simbolik titik permulaan pemberian sesuatu yang berharga daripada ibu bapa kepada anak perempuan mereka yang berupa barang kemas.
Selain itu, adat bertindik juga dilakukan sempena mengingati peristiwa di zaman Rasulullah di mana seorang wanita telah cedera di telinganya semasa terlibat dalam peperangan. Untuk menutup kecederaan di telinganya, beliau telah meletakkan sesuatu di lubang tersebut sebagai perhiasan. Inilah yang dikatakan asal-usul adat bertindik di kalangan masyarakat Melayu. Akan tetapi, pada zaman sekarang ini, kerja tersebut tidak banyak lagi dilakukan walaupun oleh orang-orang melayu kampung. Pada masa sekarang, bertindik ini dilakukan sendiri dengan apa sahaja cara yang mudah, asalkan cuping telinga anak masing-masing dapat ditebuk dengan selamat. Tambahan pula di bandar-bandar dan pekan-pekan besar sekarang, pelbagai jenis subang dan anting-anting moden yang cantik-cantik boleh dibeli dengan murah. Malah ada juga anting-anting yang boleh dibeli dan dipakai di cuping telinga dengan hanya pakai ketap sahaja. Walaubagaimanapun, dalam zaman moden kini, perkara bertindik telinga tidak lagi menjadi suatu perkara yang perlu bagi setiap kanak-kanak perempuan.